PBS VS KBSR/KBSM
1. Ya, sekarang kita dah taw, PMR dan UPSR dah dihapuskan. Tahun ini (2013) merupakan tahun tahun akhir menghadapi UPSR dan PMR.
2. PBS= Penilaian Berasaskan Sekolah akan gantikan exam tersebut.
3. maksudnya pelajar kena hadapi ujian2 kecil sahaja yang merangkumi kerja kursus dan sebagainya.
4. memang nampak banyak kerja perlu dibuat oleh guru dan pelajar, tapi apabila sudah biasa, ia menjadi mudah. sebenarnya, kita sudah amalkannya semasa KBSR/KBSM dulu, cuma PBS adalah sistem yang lebih teratur dan berterusan.
5. kesannya, pelajar dan guru tidak perlu lagi belajar berorentasikan peperiksaan.. Apa yang kelihatan yang berbeza ialah pengOPERASIannya sahaja yang bebeza.
Bukti Tamadun Melayu
Naskhah awal manuskrip ini telah dikemukakan oleh Datin Sharifah Anisah Barakbah dengan judul “Dunia Perbidanan Melayu”. Kesungguhan beliau untuk merakamkan segala ilmu pengetahuan dan pengalaman dalam bidang perbidanan yang diwarisi daripada ibu serta neneknya, di samping sumber-sumber lain, telah menjana semangat luar biasa kepada penerbitan buku ini. Pertama-tama dorongan untuk usaha ini beliau dasarkan atas kepentingan menyebarkan ilmu bagi manfaat umat manusia. Dan dorongan tersebut dikembarkannya dengan maksud memartabatkan kekayaan ilmu perubatan dan perawatan kesihatan Melayu. Murninya dua dasar ini, dengan nikmat Allah SWT jua, telah mencipta tapak yang kukuh dalam usaha membina sebuah perbahanan bagi menampung perbendaharaan sebuah bangsa yang tidak ternilai harganya.
Pada manuskrip tersebut terpancar kegemilangan tamadun Melayu, bangsa yang begitu prihatin akan penjagaan diri dan keturunannya. Dengan permulaan yang menghuraikan hakikat kejadian manusia daripada jurai Adam dan Hawa, Datin Anisah meletakkan persembahan karyanya pada paksi yang tepat. Sesungguhnya, asas sebuah masyarakat sihat ialah dua insan yang disatukan dalam ikatan perkahwinan, yang kemudiannya membiakkan ahlinya menjadi unit-unit kecil lain bagi melengkapkan proses perkembangan masyarakat itu. Dari sinilah dihuraikan kitaran yang dilalui oleh seseorang insan, yang tidak dapat tidak, mesti melalui proses persenyawaan, alam kandungan sehinggalah akhirnya dilahirkan. Setiap tahap ini dirincikan dengan kupasan mengikut kefahaman ilmu Melayu dan pada bahagian tertentu disertakan pula dengan penjelasan berdasarkan ilmu perubatan moden. Pelbagai masalah yang dihadapi oleh ibu hamil dan kandungannya diterangkan, diikuti dengan cara mengatasinya, sama ada secara perubatan, perawatan, pemakanan, ataupun pencegahan.
Kesemua ini disampaikan menggunakan aparat ilmu Melayu, yang sekali gus mendedahkan kemajuan bangsa yang telah mengamalkannya turun-temurun, barangkali sejak ribuan tahun lalu, seawal kewujudan kerajaan Melayu purba. Penemuan ekskavasi Lembah Bujang dan Kota Gelanggi serta catatan pedagang China misalnya, memberi petunjuk bahawa bangsa Melayu sudah pun mengamalkan sistem masyarakat beraja sekitar abad kedua atau kelima masihi. Dan istanalah yang menjadi pusat praktis kecantikan dan kesihatan. Dari istana, praktis itu berkembang subur sehingga menjadi ilmu yang luas dan merakyat. Sebuah bangsa yang mundur, tidak bertamadun tidak mungkin memiliki istilah khusus lagi rinci berkaitan organ dan saraf, proses kehamilan dan kelahiran, penyakit dan masalah, serta kaedah penjagaan ibu dan anak secara sistematik. Bayangkan, untuk “uterus”, masyarakat Melayu mempunyai sekurang-kurangnya lima nama, iaitu rahim, peranak, peranakan, merian, atau yang lebih halus, penyawa. Inilah satu daripada indeks yang memancarkan kegemilangan tamadun Melayu yang terkandung dalam manuskrip tersebut.
Nilai Bahasa Melayu
Izinkan saya menyampaikan beberapa pandangan yang telah saya hablurkan selama beberapa tahun membawa ke bahasa ini ke dalam jiwa dan kehidupan saya. uuuuu.. (kemaihnya sembang...)
Bahasa Melayu bukan sahaja suatu alat komunikasi dan medium untuk mendapatkan ilmu, tetapi terkandung di dalamnya cara berfikir, konsep alam, nilai masyarakat serta ilmu tradisional, agama dan budaya Melayu / Malaysia dan juga jati diri, khususnya yang terjalin dalam semua jenis sastera - lisan dan tulisan. Sementara itu kita diingatkan kepada suatu kajian oleh Open University di London yang meramal bahawa dalam 30 tahun bahasa Melayu akan menjadi bahasa keempat terbesar di dunia. Oleh itu menjadi tanggungjawab kita untuk memupuk bahasa yang tua lagi indah ini supaya bila sampai pada waktunya bahasa ini sudah benar-benar menjadi bahasa dunia.
Di sebaliknya kajian ini juga mendapat bahawa bahasa Inggeris tidak akan lagi menjadi bahasa pertama di dunia, malah hanya mendapat tempat bahasa ketiga, iaitu selepas Mandarin dan Sepanyol.
Berikut ialah di antara hujah mengapa bahasa Melayu harus kembali dijadikan bahasa matematik dan sains di sekolah dan universiti;
1.Tujuan pencapaian penguasaan bahasa Inggeris di sekolah-sekolah di Malaysia boleh dibaiki dengan kaedah mengajar yang lebih baik dan sikap terhadap bahasa yang lebih sihat. Sekiranya kita merujuk kepada pengalaman negara Belanda maka kita akan temui contoh bagaimana bahasa Inggeris, Perancis dan Jerman hanya diperkenalkan pada peringkat sekolah menengah.
Tetapi oleh kerana cara pengajaran yang baik dan berkesan, maka selepas sekolah menengah pelajar-pelajar ini sudah boleh bercakap dan menulis dalam bahasa-bahasa ini dengan baik - lebih baik daripada pelajar Malaysia bercakap bahasa Inggeris (walau pun setelah 11 atau 13 tahun). Kita juga mungkin perlu merujuk kepada model pengajaran bahasa dari Denmark, Sweden dan Norway yang bangga dengan bahasa ibunda mereka sendiri tetapi dapat menggunakan bahasa antarabangsa lainnya dengan baik. Jadi contoh kita seharusnya bukan Singapura, tetapi Scandinavia, Belanda dan Belgium mahupun Switzerland.
2. Seperti sering diulang penghujah Pemenang Anugerah Nobel dalam semua bidang, termasuk sastera, bukan saja datang dari negara-negara berbahasa Inggeris, tetapi lebih banyak daripadanya daripada negara bukan berbahasa Inggeris - seperti Perancis, Jerman, Jepun, Sepanyol, Switzerland dan India / Bangladesh. Yang mencemerlangkan mereka bukanlah bahasa Inggeris tetapi ilmu yang baru, wawasan kemanusiaan dan eksperimen yang penuh tekun dan berterusan pula. Suasana ilmu adalah faktor penting yang menggerakkan mereka kepada kejayaan peringkat tinggi.
3. Beberapa masalah negara kita bukan berpuncakkan penguasaan bahasa Inggeris yang kurang cekap, tetapi kepada budaya kerja yang tidak rapi dan disiplin yang tidak ketat. Terdapat banyak negeri yang pernah dijajah Inggeris yang menggunakan bahasa itu sebagai bahasa di sekolah tetapi nampaknya agak kucar-kacir pentadbiran serta ekonomi dan ilmunya. Di sebaliknya di Malaysia Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah membawa kita jauh ke dalam dunia industri, sains dan teknologi serta ilmu.
4. Sekiranya kita tidak kembalikan bahasa Melayu kepada semua bidang ilmu maka kita dituduh sejarah sebagai pemusnah bahasa Melayu, sebuah bahasa yang lama dulu menjadi lingua franca daerah Asia tenggara dan untuk beberapa dekad lepas kemerdekaan bangkit dan kuat semula, hinggalah diturunkan darjatnya kerana arahan supaya menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa yang lebih penting, kerana bidang-bidang terpilih diajar dalam bahasa ini.
5. Dengan keputusan ini dan penggunaan bahasa Inggeris untuk bidang-bidang terpilih dewasa ini maka dengan sendirinya kita telah menciptakan dua jenis warganegara Malaysia - yang pertama; menguasai bahasa Inggeris dan bidang sains dan teknologi, dan seterusnya yang kedua, warganegara yang berbahasa Melayu dan menguasai bidang-bidang sastera dan sains sosial - iaitu bidang-bidang yang dianggap tidak penting dan lebih rendah darjatnya.
6. Saya menyokong dasar yang membuka mata dan ilmu pelajar kepada dunia yang luas, relevan dan kemas kini. Saya tidak membantah pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa, malah ingin mencadangkan bahawa lebih banyak bahasa antarabangsa diajar. Namun untuk perkembangan budaya dan jati diri bangsa Malaysia kita perlu mempunyai sebuah bahasa persatuan yang dipelajari, didalami dan dibanggai oleh seluruh rakyat Malaysia. Sementara itu kerajaan juga harus mengajar bahasa ibunda pelajar-pelajar ini di peringkat sekolah rendah supaya bahasa itu tidak pupus.
Dalam bandingan dengan warganegara Thailand atau Indonesia, rakyat Malaysia tidak menguasai bahasa kebangsaannya, tidak bangga dengan budayanya dan tidak jelas jati dirinya. Sebabnya, antara lainnya, ialah bahawa sastera dan budaya tidak menjadi mata pelajaran penting.
Bersama pengajaran bahasa Melayu yang teratur dan rapi pelajar harus diperkenalkan kepada karya-karya penting sastera Melayu di peringkat sekolah rendah dan menengah secara wajib. Inilah yang dilakukan di semua negara Anglo-saxon, Perancis, Jerman, China, Jepun dan Korea. Hanya di Malaysia anak-anak (dan sekarang ini orang dewasa) tidak pernah mengenali atau membaca karya agung leluhur mereka seperti Sulalatus al-Salatin, Hikayat Hang Tuah atau Tuhfat al-Nafis, yang banyak melukis bangsa Melayu / Malaysia, nilai-nilainya dan juga jati dirinya.
7. Sekarang ini bahasa Melayu sedang melemah di sekolah, di institusi pengajian tinggi, di peringkat negara, media masa dan kehidupan secara amnya. Sekiranya bahasa ini tidak diberikan ruang untuk hidup dalam dunia dan disiplin baru dan mencabar , dengan sendirinya bahasa Inggeris akan masuk menjajah kembali, dan kita kan menjadi tidak lebih dari pengguna dan peminjam bahasa dan konsep-konsep yang tersimpan dalam bahasa itu. Sementara itu konsep-konsep tempatan, keindahannya, muziknya akan hilang dari bangsa Melayu yang diamanahkan untuk mewarisinya.
Banyak lagi hujah yang dapat saya tuliskan. Tetapi hujah-hujah yang telah diturunkan ini, saya rasa mencukupi untuk kesempatan ini. Saya amat berharap bahawa bahasa kebangsaan kita akan kembali diberikan martabat ilmu, makna jati diri dan budayanya, seperti selayaknya sebuah bahasa besar dan tua.
Sesuatu bangsa yang tidak menghormati bahasanya biasanya tidak dihormati oleh bangsa lain yang menghormati bahasanya sendiri.