Sunday, 4 December 2011

Bukti Tamadun Melayu

  Naskhah awal manuskrip ini telah dikemukakan oleh Datin Sharifah Anisah Barakbah dengan judul “Dunia Perbidanan Melayu”. Kesungguhan beliau untuk merakamkan segala ilmu pengetahuan dan pengalaman dalam bidang perbidanan yang diwarisi daripada ibu serta neneknya, di samping sumber-sumber lain, telah menjana semangat luar biasa kepada penerbitan buku ini. Pertama-tama dorongan untuk usaha ini beliau dasarkan atas kepentingan menyebarkan ilmu bagi manfaat umat manusia. Dan dorongan tersebut dikembarkannya dengan maksud memartabatkan kekayaan ilmu perubatan dan perawatan kesihatan Melayu. Murninya dua dasar ini, dengan nikmat Allah SWT jua, telah mencipta tapak yang kukuh dalam usaha membina sebuah perbahanan bagi menampung perbendaharaan sebuah bangsa yang tidak ternilai harganya.
Pada manuskrip tersebut terpancar kegemilangan tamadun Melayu, bangsa yang begitu prihatin akan penjagaan diri dan keturunannya. Dengan permulaan yang menghuraikan hakikat kejadian manusia daripada jurai Adam dan Hawa, Datin Anisah meletakkan persembahan karyanya pada paksi yang tepat. Sesungguhnya, asas sebuah masyarakat sihat ialah dua insan yang disatukan dalam ikatan perkahwinan, yang kemudiannya membiakkan ahlinya menjadi unit-unit kecil lain bagi melengkapkan proses perkembangan masyarakat itu. Dari sinilah dihuraikan kitaran yang dilalui oleh seseorang insan, yang tidak dapat tidak, mesti melalui proses persenyawaan, alam kandungan sehinggalah akhirnya dilahirkan. Setiap tahap ini dirincikan dengan kupasan mengikut kefahaman ilmu Melayu dan pada bahagian tertentu disertakan pula dengan penjelasan berdasarkan ilmu perubatan moden. Pelbagai masalah yang dihadapi oleh ibu hamil dan kandungannya diterangkan, diikuti dengan cara mengatasinya, sama ada secara perubatan, perawatan, pemakanan, ataupun pencegahan.
Kesemua ini disampaikan menggunakan aparat ilmu Melayu, yang sekali gus mendedahkan kemajuan bangsa yang telah mengamalkannya turun-temurun, barangkali sejak ribuan tahun lalu, seawal kewujudan kerajaan Melayu purba. Penemuan ekskavasi Lembah Bujang dan Kota Gelanggi serta catatan pedagang China misalnya, memberi petunjuk bahawa bangsa Melayu sudah pun mengamalkan sistem masyarakat beraja sekitar abad kedua atau kelima masihi. Dan istanalah yang menjadi pusat praktis kecantikan dan kesihatan. Dari istana, praktis itu berkembang subur sehingga menjadi ilmu yang luas dan merakyat. Sebuah bangsa yang mundur, tidak bertamadun tidak mungkin memiliki istilah khusus lagi rinci berkaitan organ dan saraf, proses kehamilan dan kelahiran, penyakit dan masalah, serta kaedah penjagaan ibu dan anak secara sistematik. Bayangkan, untuk “uterus”, masyarakat Melayu mempunyai sekurang-kurangnya lima nama, iaitu rahim, peranak, peranakan, merian, atau yang lebih halus, penyawa. Inilah satu daripada indeks yang memancarkan kegemilangan tamadun Melayu yang terkandung dalam manuskrip tersebut.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home